Nikmat Allah


Oleh Jinan Bastaki | Diterjemahkan oleh Aisyah Yuhanis

Siri Solat (Prayer Series in Malay) English Version

Bahagian IBahagian IIBahagian IIIBahagian IVBahagian VBahagian VIBahagian VIIBahagian VIIIBahagian IX | Bahagian XBahagian XIBahagian XIIBahagian XIIIBahagian XIVBahagian XV|Bahagian XVIBahagian XVIIBahagian XVIIIBahagian XIXBahagian XX | Bahagian XXI | Bahagian XXII | Bahagian XXII | Bahagian XXIII | Bahagian XXIV | Bahagian XXV | Bahagian XXVI | Bahagian XXVII

2381103749_9b285f6b1d_o

Orang-orang yang telah Allah beri nikmat

Artikel yang lepas kita bercerita tentang sirat, iaitu jalan lurus yang mesti kita patuhi dalam hidup ini supaya kita akan dapat melintasi sirat di akhirat nanti. Dalam surah Al-Fatihah, kita telah menjelaskan jalan yang kita ingin lalui. Kita membaca:

صراط الذين أنعمت عليهم

“Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat…” (Qur’an, 1:6)

Apabila kita membaca ayat ini, hati kita patut tersentuh kerana kita ingat orang-orang yang Allah s.w.t telah kurniakan nikmatNya – Rasulullah ﷺ, para sahabat, orang-orang yang benar dan sebagainya. Ayat ini memberikan kita kesenangan iaitu orang-orang yang mengikut jalan ini bersama Allah – dengannya, jangan merasa malu dengan iman anda berdepan dengan orang yang memandang rendah padanya; jangan merasa rendah diri jika hanya anda yang tidak minum arak atau apabila hijab (tudung) anda dipersoalkan. Banyak surah-surah di dalam al-Qur’an menceritakan kisah Rasulullah ﷺ, seolah-olah memberikan kesenangan kepada baginda semasa baginda dilanda kesusahan dalam menyampaikan utusan. Ayat ini juga bertujuan sama kepada kita – kita patut tahu selagi kita di jalan ini, Allah bersama kita.

Sambungan ayat ini memberitahu kita:

غير المغضوب عليهم ولا الضالين

“Bukannya jalan-jalan orang yang telah Engkau murkai dan mereka yang sesat.” (1:6-7)

Siapakah mereka yang menyebabkan kemurkaanNya ini? Ibn Kathir menyatakan ia merujuk kepada mereka yang mengetahu kebenaran tapi tidak mengikutnya. Dan mereka yang sesat adalah mereka yang melakukan perkara tanpa ilmu pengetahuan. Kita perlu berhati-hati dengan dua jalan ini supaya kita tidak terjerumus ke dalamnya, oleh itu tetaplah di jalan yang lurus, dengan menggabungkan kedua-dua ilmu dan amal.

Surah al-Fatihah juga mengajar kita cara berdoa yang betul – iaitu kita sepatutnya selalu bermula dengan memuji Allah, kemudiannya baru menyatakan permintaan kita.

Amin

Kita bercerita tentang “Amin” secara ringkas dalam artikel lalu, dan bagaimana kita patut menyebutnya dengan benar-benar meminta kepada Allah supaya memakbulkan doa dalam al-Fatihah. Tapi ada sesuatu yang lain berlaku apabila kita menyebutnya. Abu Hurairah r.a. mengaitkannya dengan sabda Rasulullah ﷺ:

إِذَا أَمَّنَ الْإِمَامُ فَأَمِّنُوا، فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الْمَلَائِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Apabila imam menyebut ‘Amin’ ikutilah dengan ‘Amin’, kerana sesiapa yang mengaminkannya bersama-sama para malaikat, segala dosa-dosanya yang lalu akan diampunkan.” (Bukhari, Muslim).

Kita sebut ‘Amin’ yang bermaksud ‘Ya Allah perkenankanlah’, dan para malaikat di syurga juga menyebut ‘Amin’. Jika dibacakan serentak, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita. Ini juga sebab mengapa kita patut menyebutnya dengan sepenuh hati – supaya Allah mengabulkan doa kita yang ikhlas itu dan supaya dosa-dosa kita diampunkan.

Qur’an

Setelah membaca al-Fatihah, kita kemudiannya membaca surah yang ringkas. Malangnya, kadang-kadang kita tidak ingat surah apa yang kita baca. Mereka yang mengalami kesukaran ini, patut ingat akan kata-kata Allah:

47:24

“Tidakkah mereka memerhatikan al-Qur’an? Bahkan ada kunci pada hati mereka?” (Qur’an, 47:24)

Perhatikan bagaimana Rasulullah ﷺ selalu bersolat. Aisyah r.a. menyatakan bahawa kadang-kadang Rasulullah ﷺ akan bersolat malam sehingga fajar dengan membaca hanya satu ayat. Muhammad bin Ka’b Al-Qardhi berkata: “Untuk membaca surah al-Zalzalah dari malam hingga ke pagi dan surah al-Qari’ah dan menghayati dan mengulangi mereka adalah lebih disukaiku daripada membaca keseluruhan Qur’an (tanpa menghayati).”

Seorang jiran Ibn Abbas r.a. menyatakan apabila dia bertahajjud, dia akan membaca satu ayat dan berhenti. Kemudiannya dia membaca ayat yang lain dan berhenti. Jirannya bertanya mengapa, dan dia menjawab supaya dia dapat menghayati setiap patah kata. Kita selalunya melebihkan kuantiti daripada kualiti. Sesetengah daripada kita mungkin membaca keseluruhan Qur’an, tapi jika ditanya apa pengajaran yang kita dapat, kita tidak akan mampu memberi walau satu contoh. Ibn Al-Qayyim menyatakan jika seseorang berhajat untuk mendapat manfaat daripada Qur’an, dia perlu pastikan hatinya hadir; dia perlu membaca atau dengar kepada perkataan-perkataan yang penting, supaya tahu Allah sedang memaksudkan dia.

Ayat-ayat ini sungguh hebat dengan firmanNya:

لو أنزلنا هذا القرآن على جبل لرأيته خاشعاً متصدعاً من خشية الله

“Kalau sekiranya kami turunkan Qur’an ini ke atas gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk dan terbelah kerana takut kepada Allah…” (Qur’an, 59:21)

Subhanallah, perhatikan pengajaran yang Allah berikan. Renunglah hikmah yang dibawa Qur’an yang kita baca setiap hari ini, tanpa menyedari bahawa setiap kata ditujukan kepada kita dan memberi panduan kepada kita. Walaupun ada antara kita yang tidak faham bahasa Arab, ramai yang telah menghafal dan membaca ayat-ayat dan surah-surah di dalam solat. Kita patut cuba membaca tafsir dan memahami makna-maknanya supaya hati kita lebih tersentuh apabila membacanya. Bukannya lama untuk membaca sedikit muka surat tafsir setiap minggu bagi surah yang telah kita tahu. Kita patut melakukannya bersama-sama dan mendapat berkat kerana melakukannya secara beramai-ramai.

Ibn al-Qayyim berkata kita patut menyelusuri antara rasa cinta, takut dan harap. Apabila kita membaca Qur’an untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah, hati kita patut dipenuhi rasa cinta, menyedari yang ia adalah keberkatan dalam hidup kita. Apabila kita membaca cerita tentang orang-orang terdahulu dan hukuman mereka, kita patut merasa takut kerana kita mungkin menjadi seperti mereka. Apabila kita membaca kisah-kisah yang menceritakan keampunan Allah, kita patut berharap akan kasih sayangNya. Janganlah kita lupa bahawa solat itu bukanlah suatu monolog – ia adalah bicara mesra dengan Allah. Qur’an merupakan kata-kataNya kepada kita.

Moga Allah membantu kita dalam mengambil pengajaran daripada Qur’an dan menghadirkan hati dalam solat kita. Amin.

Print Friendly

No Comments

    Leave a Reply

    Notify me of followup comments via e-mail. You can also subscribe without commenting.

    More in Malay (8 of 29 articles)