Kecantikan


Oleh Jinan Bastaki | Diterjemahkan oleh Aisyah Yuhanis

Siri Solat (Prayer Series in Malay) English Version

Bahagian IBahagian IIBahagian III | Bahagian IV | Bahagian V | Bahagian VI | Bahagian VII | Bahagian VIII | Bahagian IX | Bahagian X |Bahagian XI |Bahagian XII | Bahagian XIII |Bahagian XIV | Bahagian XV | Bahagian XVI | Bahagian XVII | Bahagian XVIII | Bahagian XIX | Bahagian XX | Bahagian XXI | Bahagian XXII | Bahagian XXII | Bahagian XXIII | Bahagian XXIV | Bahagian XXV | Bahagian XXVI | Bahagian XXVII

Emosi terdalam

Hari ini kita akan pergi dengan lebih mendalam; kita telah menghadirkan hati, memahami bacaan, dan menyertakan dua jenis perasaan, kini kita akan menambah satu lagi. Dengan perasaan ini, solat kita terasa singkat, sedangkan jika kita nilai kembali masa yang telah kita gunakan, kita akan terfikir, “Adakah aku telah luangkan masa selama 10 minit?” atau 15, 20 minit (insyaAllah). Seseorang yang mula menerapkan rasa begini berharap solat itu tidak akan berakhir.

Suatu perasaan yang disifatkan Ibn Al-Qayyim sebagai “rebutan para pesaing… ia adalah santapan rohani dan kesenangan mata memandang,” dan dia juga berkata, “jika tiada perasaan ini di dalam hati, umpama jasad tanpa jiwa.”

Anda tahu apakah perasaan ini?

Cinta (الحب)

Sesetengah orang, hubungannya dengan Allah terhad kepada mengikut suruhan dan meninggalkan larangan, supaya tidak dicampak ke dalam neraka. Benar, kita mesti mengikut suruhan dan meninggalkan larangan, tetapi ia mesti dilakukan lebih daripada sekadar takut dan harap – ia sepatutnya dilaksanakan kerana cinta kepada Allah. Firman Allah:

“… nanti Allah akan mendatangkan satu kaum, Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah” (Qur’an, 5:54).

Apabila sepasang kekasih bertemu, hati berdebar-debar dan terasa kehangatan dalam pertemuan itu. Tetapi apabila kita bertemu Allah, tidak ada walau satu auns pun perasaan sebegitu. Allah berfirman di dalam Al-Qur’an:

“Di antara manusia ada yang mengambil selain daripada Allah beberapa sekutu (berhala), mereka itu mengasihinya, seperti mengasihi Allah. Tetapi orang-orang yang beriman amat kasih kepada Allah” (Qur’an, 2:165).

Dan orang-orang yang beriman amat kasih kepada Allah. Perasaan rindu sepatutnya timbul, dan apabila kita mula mengangkat takbir untuk memulakan solat, kehangatan dan cinta sepatutnya mengisi hati kita kerana kita sedang bertemu Allah. Doa Rasulullah ﷺ:

اللهم إني أسألك الشوق الى لقائك

“Ya Allah, aku meminta padaMu kerana rindu untuk bertemuMu” (Nisa’i, Hakim).

Ibn Al-Qayyim menyatakan dalam kitabnya Tareeq Al-Hijratain bahawa Allah mencintai rasul-rasulNya dan hamba-hambaNya yang beriman, dan mereka mencintaiNya dan tiada apa yang lebih dicintai mereka selain Dia. Cinta ibu bapa merupakan suatu jenis kemanisan, begitu juga dengan cinta seorang anak – tetapi cinta Allah adalah lebih jauh daripada itu. Sabda Rasulullahﷺ:

“Sesiapa yang menggabungkan ketiga-tiga kualiti ini akan merasa kemanisan iman…”

Perkara pertama yang disebutkan baginda adalah:

“…bahawa Tuhan dan RasulNya lebih disayangi melebihi sesuatu apa pun…” (Bukhari)

Ibn Al-Qayyim berkata, “Memandangkan `tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya’ (42:11), maka tiada sesuatu pun seperti mencintaiNya.”

Jika anda merasakan cinta ini kepadaNya, ia akan menjadi suatu perasaan yang sungguh mengasyikkan, sungguh manis, anda berharap solat anda akan tetap berterusan.

Saya ingin merasakan cinta ini, tetapi bagaimana?

Adakah anda benar-benar ingin merasakan cinta ini? Maka tanyalah diri sendiri – mengapa atau patutkan anda cintakan Allah? Kerana ketahuilah anda mencintai manusia kerana salah satu daripada ketiga-tiga sebab berikut (atau kesemuanya, pada tahap berbeza):

1.     Kecantikan mereka;

2.     Kerana perwatakan yang baik;

3.     Kerana mereka telah berjasa kepada anda.

Dan ketahuilah Allah mempunyai gabungan kesemua ini pada tahap yang tertinggi.

1. Kecantikan

Kita semua terpesona dengan kecantikan. Ia adalah fitrah kita untuk menyukai sesuatu yang cantik. Ali ibn Abi Talib r.a. mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ “seperti ada matahari menyinar dari wajahnya’’ Jaabir r.a. berkata: “Rasulullah ﷺ itu lebih kacak, cantik dan berseri daripada bulan mengambang” (Tirmidhi). Allah telah menjadikan kesemua rasulNya dengan kecantikan tertentu supaya manusia akan tertarik secara semulajadi kepada mereka.

Dan kecantikan itu bukan sekadar di wajah, kerana kecantikan itu terdapat pada setiap ciptaan dan mampu memukau kita dan sekaligus memberikan kita ketenangan. Sinaran bulan sabit pada malam yang tenang, keasyikan air terjun yang jatuh dari beribu-ribu kaki tingginya, matahari terbenam di sebalik lautan… Sesuatu tentang pemandangan alam semulajadi yang terpelihara kecantikannya mengusik jiwa kita. Jika kita tinggal di bandar setelah sekian lama, cuba perhatikan:

Dan Allahlah yang menjadikannya cantik. Maka bagaimana pula kecantikan Allah? Ibn Al-Qayyim berkata, “Cukuplah untuk menyedari kecantikan Allah apabila kita tahu bahawa setiap kecantikan dalaman dan luaran hidup ini dan selepas kebangkitan diciptakan olehNya, maka bagaimana pula kecantikan pencipta mereka?”

Fitrah mencintai kecantikan ini kerana Allah itu sendiri cantik. Salah satu namaNya ialah Al-Jameel (Yang Maha Cantik). Ibn Al-Qayyim mengatakan bahawa kecantikan Allah tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa pun dan hanya Dia yang tahu. Ibn Al-Qayyim mengatakan jika kesemua ciptaan adalah yang tercantik (bayangkan jika setiap manusia itu cantik seperti Nabi Yusuf a.s., dan seluruh dunia ibarat syurga), dan kesemua mereka digabungkan dari awal masa sehingga Hari Pengadilan, mereka tidak akan setanding walau sinaran matahari sekalipun jika dibandingkan dengan Allah. Kecantikan Allah sungguh hebat, kita tidak dapat memperolehinya dalam dunia ini. Dalam Qur’an, Allah menyatakan permintaan Musa a.s.:

“Setelah datang Musa pada waktu perjanjian Kami, dan Tuhan berfirman (berkata-kata) dengannya, lalu dia berkata: Ya Tuhanku perlihatkanlah (zat) Engkau kepadaku, supaya dapat aku melihatMu. Tuhan berkata: Engkau tidak akan dapat melihatKu, tetapi lihatlah bukit ini, jika ia tetap di tempatnya, nanti engkau akan melihatKu. Setelah terang sebahagian kecil nur Tuhannya di bukit itu, lalu bukit itu menjadi pecah dan Musa jatuh pengsan ke bumi” (Qur’an, 7:143).

Sedangkan gunung tidak mampu menahan kecantikan Allah dan menjadi hancur, dan apabila Musa a.s. melihatnya (dia tidak terlihat akan Allah), dia jatuh pengsan. Inilah sebabnya pada Hari Pengadilan cahaya Allahlah yang akan menerangi keseluruhannya. Kita memperkatakan tentang kecantikan yang memukau, tapi kita sendiri belum mengalami kecantikan Allah. Sementara apa yang ada di dunia ini cantik atau mulia, atau jika digabungkan kedua-duanya mereka masih terbatas, kemuliaan dan kecantikan sebenar hanyalah pada Allah. Allah berfirman dalam Qur’an:

“Dan tinggallah zat Tuhanmu yang mempunyai Kemuliaan dan Kehormatan”        (Qur’an, 55:27)

Berpandukan ini, Rasulullah s.a.w. bersabda:

إن الله ينصب وجهه لوجه عبده في صلاته ما لم يلتفت

“Allah memandang terus ke muka hambaNya yang bersolat, selagi dia tidak berpaling”  (Tirmidhi).

Ingat ini dalam solat anda, dan minta pada Allah agar diberikan peluang untuk merasakan nikmat melihatNya di dalam syurga.

Bolehkah kita mengangkat cinta ini ke peringkat seterusnya? Minggu depan insyaAllah!

Print Friendly

4 Comments

  1. nas says:

    Subhanallah….semoga kita sentiasa dapat menterjemahkan maksud cinta, kasih, takut dan harapan itu dalam menjalani kehidupan dunia yang penuh dengan dugaan…amin

  2. syahida says:

    asslmu’alaikum..wow..
    if see the most beautiful person in this world..
    cant imagine how beautiful is Allah SWT..
    great article..terima kasih banyak2 for posting this..

  3. Nadia says:

    Masya’Allah… so beautiful!

    Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

  4. ish says:

    Allahuakbar !!! semoga Allah SWT memberi kita rasa akan cintaNya yg agung…

Leave a Reply

Notify me of followup comments via e-mail. You can also subscribe without commenting.

More in Malay (25 of 29 articles)